Majlis Perbandaran Kajang (MPKj)

Program Seminar Pendekatan Bersama Sektor Industri Tahun 2024

seminar

7 Ogos 2024 - Jabatan Kawalan Bangunan dan Jabatan Perancangan Pembangunan, MPKj dengan kerjasama KOMPEK MPKj telah mengadakan seminar dengan tajuk kali ini adalah Seminar Pendekatan Bersama Sektor Industri Bagi Pematuhan Undang-Undang Ke Arah Pengoperasian Kilang Yang Selamat Tahun 2024.

Seramai 155 peserta terlibat di dalam program ini yang terdiri daripada wakil-wakil pemain/pengusaha industri, rakan strategik MPKj, agensi kerajaan, PBT dan perunding-perunding bertauliah.

Seminar ini bertujuan untuk memberi kefahaman kepada pengusaha industri berkaitan dengan pematuhan ke atas syarat teknikal dalam pembangunan industri pengilangan. Program seminar ini dirasmikan oleh Tuan Nazli Bin Md Taib, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang.

Pengisian seminar ini mempunyai 5 slot pembentangan dimulai dengan Slot 1 dari Tuan Ahmad Syukry Bin Sulaiman, Penolong Pegawai Tanah Tertinggi, Bahagian Penguatkuasaan Pengambilan Tanah&Teknikal Pejabat Tanah dan Galian Selangor dengan tajuk Pertukaran Syarat Tanah & Pembangunan Tanah.

Seterusnya diikuti dengan Slot 2 yang telah disampaikan oleh Puan Siti Rahayu Binti Mohd, Penolong Pengarah Tenaga Kerja Kanan, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia membawa tajuk pembentangan Pelaksanaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan & Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446). Selanjutnya Slot 3 pembentangan dan soal jawab berkaitan Garis Panduan Keselamatan Kebakaran Di Bangunan Industri telah disampaikan oleh PgKB I Shahrin Yusmar B Mat Yusof, Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Slot 4 oleh Puan Egna Francis Gitom AIS, Pengarah Unit OSC, MPKj telah membawa tajuk pembentangan Ke Arah Pemerkasaan Sektor Ekonomi Industri : Inisiatif Industrial Green Lane dan Slot 5 dibentangkan oleh Tpr. Tuan Hj Reduan Bin Idris, AMS,PPT ,Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan, MPKj membentangkan Tatacara Permohonan Kebenaran Merancang Bagi Pembangunan Industri & CLQ di MPKj.

Adalah diharapkan dengan penganjuran seminar ini dapat memberi kesedaran dan menggalakkan kepada pengusaha industri supaya mendapatkan kelulusan di peringkat majlis agar aktiviti yang dijalankan mematuhi undang-undang dan beroperasi dengan selamat.