Majlis Perbandaran Kajang (MPKj)

Program Pertandingan Dekorasi Kollam dan Bengkel Penulisan Puisi Bersempena Bulan Kemedekaan dan Hari Malaysia 2024

Tarikh: 4 September 2024 (Rabu)
Masa: 8.00 pagi - 5.00 petang
Tempat: Dewan Komuniti MPKj@Semenyih

bengkel penulisan 2

 

Bersempena dengan Bulan Kemerdekaan yang lazim disambut setiap tahun, Jabatan Pembangunan Masyarakat dengan kerjasama rakan-rakan strategik telah merangka dan melaksanakan program tersebut.

Bagi Pertandingan Dekorasi Kollam yang dilaksanakan dengan kerjasama Ketua Komuniti India Dun Kajang, Puan Tehn Malar a/p Balla telah mendapat penyertaan sebanyak 13 pasukan. Penyertaan bagi pertandingan tersebut adalah terbuka bagi semua golongan dan bangsa. Pertandingan diadili oleh seorang juri profesional iaitu Puan Thamayanthy a/p Sundar Raja selain dibantu oleh juri Encik Balamurali a/l Govindaraju dan Puan Sangeetha a/p Chandra Mohan sebagai wakil MPP MPKj. Dengan kriteria yang menyeluruh sebagai sebuah pasukan, 3 kumpulan telah dinobatkan sebagai pemenang dan membawa pulang wang tunai dan hamper cenderahati.

Objektif pertandingan tersebut dijalankan adalah untuk menyemai semangat cintakan Malaysia melalui dekorasi kollam. Selain itu, program ini turut memberi peluang kepada peserta untuk mempamerkan kreativiti pasukan bagi menyiapkan dekorasi kollam mengikut tema dan tempoh waktu yang ditetapkan.

Manakala bagi bengkel penulisan puisi pula, Jabatan ini telah bekerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor @ Semenyih dan Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat bagi mengenal pasti sekolah-sekolah di dalam kawasan pentadbiran MPKj yang mempunyai pelajar yang berpotensi dalam bidang penulisan puisi untuk diketengahkan.

Seramai 19 pelajar dan 8 guru daripada 7 buah sekolah telah menyertai bengkel tersebut. Para peserta telah dibimbing oleh tenaga pengajar yang cukup berkaliber iaitu Saudara Syed Indera Syed Omar atau lebih dikenali sebagai Siso Kopratasa. Beliau yang mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam cabang penulisan sastera termasuk lagu-lagu puisi, lagu-lagu patriotik dan skrip teater telah dipertanggungjawabkan untuk mencurahkan ilmu kepada peserta-peserta yang hadir.

Mereka turut diajarkan metode pemahaman asas puisi, cara menulis puisi yang puitis dan cara mendeklamasikan puisi dengan betul. Turut membantu beliau ada Saudara A. Ghani Abdullah dan Saudara Mohd Senin Tawaf yang mempunyai banyak pengalaman di dalam bidang sastera. 3 puisi terbaik daripada para pelajar telah dipilih dan menerima cenderahati.

Penyampaian cenderahati kepada rakan-rakan strategik telah disempurnakan oleh Tuan Yang Dipertua, Tuan Nazli bin Md Taib dan Tuan Timbalan Yang Dipertua, Tuan Mohd Fareez bin Mohd Ariss @ Mohd Hatta dan diiringi oleh Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat, Encik Mohammad Izuddin Bin Ramli.

Majlis turut dipersembahkan dengan deklamasi puisi daripada pelajar pemenang tempat pertama bagi puisi terbaik dan persembahan puisi daripada Saudara A. Ghani Abdullah dan diiringi oleh murid-murid dan guru-guru.

Jabatan Pembangunan Masyarakat, MPKj ingin menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada rakan-rakan strategik, tenaga pengajar, juri-juri, guru-guru dan peserta Bengkel Penulisan Puisi dan Pertandingan Dekorasi Kollam yang dianjurkan pada hari ini.