SEMENYIH - Pada 31 Mac 2022 (Khamis) yang lalu, telah diadakan satu Program Pendakian dan Ujiperiksa Projek Naiktaraf Kemudahan Rekreasi & Pembukaan Trek Baharu di Bukit Broga, Semenyih. Program yang berlangsung secara santai ini disertai oleh Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Tuan Haji Najmuddin bin Jemain bersama dengan Pengarah Jabatan Landskap Dan Rekreasi MPKj (JLR), Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan MPKj (JPP), Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat MPKj (JPM), Pengarah Unit Perancangan Korporat Dan Perhubungan Awam MPKj (UPKPA), wakil kontraktor, para pegawai dan kakitangan dari Jabatan Landskap Dan Rekreasi serta jabatan-jabatan dalaman MPKj yang turut diundang sama.
Program pendakian dan ujiperiksa ini bertujuan untuk meninjau serta memeriksa kualiti kerja pihak kontraktor dan menguji laluan trek baharu serta kemudahan di tapak mengikut spesifikasi kerja yang telah ditetapkan. Melalui peruntukan daripada Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan anggaran kos projek sebanyak RM300,000.00, pihak MPKj telah berkerjasama dengan pihak Pejabat Daerah/Tanah Hulu Langat dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dalam merancang gunatanah kawasan bagi laluan trek baharu serta kemudahan rekreasi yang bersesuaian dengan aktiviti pendakian di Bukit Broga ini.
Terdahulu, pelaksanaan projek naiktaraf ini turut merangkumi kerja pembersihan tapak & laluan baharu; pemasangan papantanda pelancongan, selamat datang, informasi & jarak laluan trek; pembinaan pintu gerbang & laluan masuk; pemasangan tali keselamatan untuk pendakia;, pemasangan bangku rehat dan penanaman pokok renek hiasan.
Melalui pelaksanaan projek seperti ini, MPKj amat komited dalam memastikan setiap projek pembangunan/naiktaraf kemudahan rekreasi untuk komuniti disiapkan dengan baik, berkualiti, berintegriti serta mengikut penuh spesifikasi kerja; disamping dapat mewujudkan komuniti yang aktif dan lestari selaras dengan Misi MPKj dalam mewujudkan kediaman yang kondusif dengan menyediakan perkhidmatan perbandaran dan infrastruktur ke arah kehidupan berkualiti, serta seiring dengan Pelan Strategik MPKj 2021-2025 Teras 4: Menyediakan Perkhidmatan Perbandaran Berkualiti.