Unit Integriti, MPKj telah menganjurkan Program Integriti bertajuk “Rasuah & Integriti Dalam Perolehan Kerajaan” pada 1 April 2022 secara dalam talian melalui aplikasi “Google Meet” yang disampaikan oleh Encik Johaari Bin Ismail, Penolong Kanan Penguasa, Unit Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor dan dihadiri oleh warga kerja MPKj.
Program ini adalah sebagai salah satu agenda pengukuhan integriti di MPKj. Perolehan kerajaan merupakan satu bidang yang amat terdedah kepada perbuatan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Pegawai dan kakitangan yang terlibat dengan perolehan sentiasa berdepan risiko terlibat dengan jenayah serius ini.
Akibat rasuah, kerajaan boleh mengalami kerugian jutaan ringgit apabila produk yang dihantar tidak mengikut spesifikasi serta tidak berfungsi dengan baik, harga terlalu mahal serta mempunyai kualitiyang rendah. Sekiranya melibatkan pembinaan, perbuatan rasuah mampu membahayakan nyawa manusia.
Usaha MPKj untuk membendung perkara ini tidak terhenti kepada tindakan punitif sahaja. Pada masa yang sama, MPKj melaksanakan usaha pencegahan dan pendidikan kepada mereka yang terlibat dengan perolehan.
Diharap dengan adanya program ini, dapat mendidik pegawai dan kakitangan MPKj, terutama yang terdedah kepada risiko jenayah rasuah dan salah guna kuasa semasa menguruskan perolehan kerajaan.